Thursday 12 September 2013

Seks Luar Nikah: Faktor Kendiri dan Teman Lelaki

Assalamualaikum.
Hari ini saya nak share artikel yang saya pernah publish dalam buletin kerja sosial di UUM semasa saya bertugas di sana. Artikel ini saya tulis berdasarkan kajian yang telah saya lakukan sendiri terhadap beberapa orang remaja hamil tanpa nikah. So, selamat membaca. 

Seringkali kita dicanang-canangkan bahawa remaja yang terlibat dengan seks luar nikah adalah kurang didikan agama, mempunyai latarbelakang keluarga yang bermasalah dan pengaruh daripada rakan sebaya dan media massa. Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa diri sendiri dan teman lelaki juga adalah antara faktor penyebab penglibatan remaja wanita dalam seks luar nikah?

Apabila dilihat daripada faktor diri sendiri remaja wanita yang terlibat dalam seks luar nikah ini, ia dikatakan sebagai salah satu penyebab berlakunya seks luar nikah adalah apabila remaja wanita tersebut tidak mampu menolak permintaan dan pujukan atau kurang daripada segi kawalan kendiri. Seringkali, pada awal permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks, teman wanita akan cuba menolak untuk beberapa kali tetapi teman wanita akan akur dengan permintaan teman lelaki setelah berkali-kali dipujuk dan ditaburkan janji. Teman wanita akan mula merasa bimbang jika tidak menunaikan permintaan teman lelaki, berkemungkinan besar mereka akan ditinggalkan.

Perasaan bimbang, takut kehilangan, risau dan sebagainya itu akan mempengaruhi dirinya untuk menerima permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks. Hal ini menunjukkan teman wanita tidak mempunyai kawalan kendiri yang kuat dan tidak berpegang kepada keputusan yang pertama iaitu menolak permintaan teman lelaki.

Selain daripada itu, apabila seseorang remaja wanita itu mula terlibat dalam seks luar nikah samada dengan kerelaan, mangsa rogol dan sebagainya, mereka mempunyai kebarangkalian untuk berulang melakukan hubungan seks luar nikah. Hal ini disebabkan oleh dorongan rasa ketagih dalam diri yang menyebabkan mereka rasa seronok dan teringin untuk melakukan hubungan seks secara kerap. Terdapat situasi dimana, remaja wanita mengaku bahawa setelah mereka melakukan hubungan seks untuk pertama kali, dan melakukannya sekali lagi disebabkan rasa “syok” yang dialaminya. Ia juga disebabkan pada pertama kali mereka melakukan hubungan seks, mereka tidak mengandung, tidak ditangkap dan berjaya menyembunyikan aktiviti tersebut daripada pengetahuan orang lain, mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan seks luar nikah dengan kerap.

Teman lelaki tidak terkecuali dalam menyumbang kepada berlakunya seks luar nikah dalam kalangan remaja. Hal ini disebabkan hasil daripada permintaan, pujukan dan janji yang ditaburkan boleh menyebabkan teman wanita mula goyah dengan pegangan diri sendiri sehingga terjebak dalam seks luar nikah. Pihak teman lelaki akan bermula dengan permintaan, kemudian apabila ditolak, teman lelaki mula melakukan pujukan dengan menaburkan beberapa janji seperti akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kehamilan luar nikah dan dengan iringan sentuhan tertentu, teman wanita menjadi akur dengan permintaan teman lelaki mereka. Janji seperti ini akan menyebabkan teman wanita mula rasa percaya dan merelakan seks luar nikah berlaku. Kemudian helah teman lelaki untuk memujuk teman wanita melakukan hubungan seks adalah melalui cara meminta teman wanita membuktikan bahawa mereka benar-benar menyayangi teman lelaki mereka. Oleh sebab teman wanita merasa bimbang dan takut kehilangan teman lelaki, mereka terpaksa merelakan seks luar nikah itu berlaku tanpa memikirkan kesan yang mungkin mereka terima.

Oleh itu, beberapa tindakan dan program perlu dilakukan dalam mengatasi isu seks luar nikah ini bermula daripada akar umbi lagi dan tidak hanya fokus kepada keluarga, rakan sebaya dan media massa sahaja. Kawalan kendiri individu dan cara untuk menepis segala pujukan dan rayuan juga dikira sebagai perkara penting dalam mengurangkan masalah seks luar nikah ini. Jika seseorang berjaya mengawal diri dan teguh dengan keputusan untuk mengatakan tidak terhadap apa jua pujukan, individu tersebut telah berjaya mengelakkan daripada terlibat dalam seks luar nikah.

Walau bagaimanapun, setiap faktor dan punca berlakunya seks luar nikah adalah saling berkaitan dan tidak ada penglibatan dalam seks luar nikah yang hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja.Akhir kata, hindarkan diri anda daripada terlibat dalam aktivit seks luar nikah.


Disediakan oleh
Norzilla Jamaludin

2 comments:

  1. salam.

    terima kasih atas perkongsian entry. hasil kajian ini memang tidak boleh dipertikaikan memandangkan ianya adalah hasil kajian sendiri oleh penulis terhadap beberapa case study.

    secara peribadi saya berpendapat, walaubagaimana sekalipun, isu diatas tetap berpunca dari kurang didikan atau lemah benteng pertahanan agama dalam diri. ini kerana jika seseorang itu mempunyai pegangan agama yang kukuh, datanglah godaan macam mana sekalipun, dia tidak akan goyang.

    saya tak nafikan banyak juga kes di atas yang berlaku pada individu yang belajar agama dan sebagainya. namun saya yakin, terdapat perbezaan yang besar antara orang yang belajar agama dengan orang yang mengamalkan ajaran agama. saya lebih suka melihat lemah kawalan kendiri yang berlaku dalam diri individu itu sebagai lemah benteng pertahanan agama.

    contohnya, jika seorang gadis itu diajak oleh teman lelakinya melakukan hubungan seks luar nikah. jika dia belajar agama tetpaitidak mengamal/menghayati apa yang dipelajarinya, memang dia akan terjebak. berbeza dengan gadis yang belajar agama dan amalkan apa yang dipelajari, saya percaya beliau mampu menangkis godaan tersebut. kalau susah sangat, tinggalkan saja lelaki tak guna tu.. ;)

    malah tidak mustahil beliau tidak mempunyai teman lelaki langsung jika gadis itu mempunyai pegangan agama yang solid.

    mungkin Saudari Zila boleh melakukan lanjutan dari kajian diatas dengan mengembangkan sedikit lagi skop kajian. saya tertarik dengan isu ini sebab ia turut menjadi topik dalam urusan kerja saya. malah, statistik terbaru yang saya dapat dari satu institusi agama di Malaysia ini sangat menakutkan. insyaallah jika adaa kesempatan akan saya kongsikan. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam,

      betul. memang xdinafikan lemahnya didikan agama menjadi salah satu sebab berlakunya seks luar nikah. Dalam kajian yang saya buat untuk dapatkan master, ader beberapa faktor lain yang juga saya kaji. antaranya adalah daripada segi faktor pendidikan. Ada responden yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan ada juga yang tiada pendidikan. Walaubagaimanapun, yang mempunyai pendidikan agama serta tahu hukum dalam melakukan hubungan seks luar nikah, disebabkan kurangnya penghayatan, mereka turut terlibat sama. kerana, ilmu yang ada, hanya tinggal menjadi pengetahuan sahaja. sama seperti yang abg razlan bgtau kat atas.

      Walaubagaimanapun, Setiap kes yang saya kendalikan kebanyakkannya bukan hanya disebabkan satu faktor sahaja tp banyak faktor penyebab yang lain juga menyumbang kepada aktiviti seks luar nikah berlaku.Dalam artikel yang saya tulis ini hanya fokus kepada dua faktor yang jarang diberikan perhatian oleh umum.

      Sekarang memang saya sedang cuba untuk melanjutkan kajian saya terhadap golongan ni. Masih dalam peringkat proposal writing.

      Hopefully abg razlan boleh berkongsi serba sedikit tentang pengalaman abg razlan k. terima kasih :)

      Zilla jamal.

      Delete