Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu Semasa. Show all posts

Thursday, 12 September 2013

Seks Luar Nikah: Faktor Kendiri dan Teman Lelaki

Assalamualaikum.
Hari ini saya nak share artikel yang saya pernah publish dalam buletin kerja sosial di UUM semasa saya bertugas di sana. Artikel ini saya tulis berdasarkan kajian yang telah saya lakukan sendiri terhadap beberapa orang remaja hamil tanpa nikah. So, selamat membaca. 

Seringkali kita dicanang-canangkan bahawa remaja yang terlibat dengan seks luar nikah adalah kurang didikan agama, mempunyai latarbelakang keluarga yang bermasalah dan pengaruh daripada rakan sebaya dan media massa. Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa diri sendiri dan teman lelaki juga adalah antara faktor penyebab penglibatan remaja wanita dalam seks luar nikah?

Apabila dilihat daripada faktor diri sendiri remaja wanita yang terlibat dalam seks luar nikah ini, ia dikatakan sebagai salah satu penyebab berlakunya seks luar nikah adalah apabila remaja wanita tersebut tidak mampu menolak permintaan dan pujukan atau kurang daripada segi kawalan kendiri. Seringkali, pada awal permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks, teman wanita akan cuba menolak untuk beberapa kali tetapi teman wanita akan akur dengan permintaan teman lelaki setelah berkali-kali dipujuk dan ditaburkan janji. Teman wanita akan mula merasa bimbang jika tidak menunaikan permintaan teman lelaki, berkemungkinan besar mereka akan ditinggalkan.

Perasaan bimbang, takut kehilangan, risau dan sebagainya itu akan mempengaruhi dirinya untuk menerima permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks. Hal ini menunjukkan teman wanita tidak mempunyai kawalan kendiri yang kuat dan tidak berpegang kepada keputusan yang pertama iaitu menolak permintaan teman lelaki.

Selain daripada itu, apabila seseorang remaja wanita itu mula terlibat dalam seks luar nikah samada dengan kerelaan, mangsa rogol dan sebagainya, mereka mempunyai kebarangkalian untuk berulang melakukan hubungan seks luar nikah. Hal ini disebabkan oleh dorongan rasa ketagih dalam diri yang menyebabkan mereka rasa seronok dan teringin untuk melakukan hubungan seks secara kerap. Terdapat situasi dimana, remaja wanita mengaku bahawa setelah mereka melakukan hubungan seks untuk pertama kali, dan melakukannya sekali lagi disebabkan rasa “syok” yang dialaminya. Ia juga disebabkan pada pertama kali mereka melakukan hubungan seks, mereka tidak mengandung, tidak ditangkap dan berjaya menyembunyikan aktiviti tersebut daripada pengetahuan orang lain, mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan seks luar nikah dengan kerap.

Teman lelaki tidak terkecuali dalam menyumbang kepada berlakunya seks luar nikah dalam kalangan remaja. Hal ini disebabkan hasil daripada permintaan, pujukan dan janji yang ditaburkan boleh menyebabkan teman wanita mula goyah dengan pegangan diri sendiri sehingga terjebak dalam seks luar nikah. Pihak teman lelaki akan bermula dengan permintaan, kemudian apabila ditolak, teman lelaki mula melakukan pujukan dengan menaburkan beberapa janji seperti akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kehamilan luar nikah dan dengan iringan sentuhan tertentu, teman wanita menjadi akur dengan permintaan teman lelaki mereka. Janji seperti ini akan menyebabkan teman wanita mula rasa percaya dan merelakan seks luar nikah berlaku. Kemudian helah teman lelaki untuk memujuk teman wanita melakukan hubungan seks adalah melalui cara meminta teman wanita membuktikan bahawa mereka benar-benar menyayangi teman lelaki mereka. Oleh sebab teman wanita merasa bimbang dan takut kehilangan teman lelaki, mereka terpaksa merelakan seks luar nikah itu berlaku tanpa memikirkan kesan yang mungkin mereka terima.

Oleh itu, beberapa tindakan dan program perlu dilakukan dalam mengatasi isu seks luar nikah ini bermula daripada akar umbi lagi dan tidak hanya fokus kepada keluarga, rakan sebaya dan media massa sahaja. Kawalan kendiri individu dan cara untuk menepis segala pujukan dan rayuan juga dikira sebagai perkara penting dalam mengurangkan masalah seks luar nikah ini. Jika seseorang berjaya mengawal diri dan teguh dengan keputusan untuk mengatakan tidak terhadap apa jua pujukan, individu tersebut telah berjaya mengelakkan daripada terlibat dalam seks luar nikah.

Walau bagaimanapun, setiap faktor dan punca berlakunya seks luar nikah adalah saling berkaitan dan tidak ada penglibatan dalam seks luar nikah yang hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja.Akhir kata, hindarkan diri anda daripada terlibat dalam aktivit seks luar nikah.


Disediakan oleh
Norzilla Jamaludin

Monday, 9 September 2013

~Gejala Buli~

Assalamualaikum,

Sejak kebelakangan ini, kiter selalu tengok video-video yang di share di dalam facebook dan sebagainya yang menunjukkan gejala buli yang berlaku dalam negara kita ini. Malangnya setelah satu video keluar, makin timbul pula video-video yang lain yang menunjukkan bahawa masalah buli ini memang banyak berlaku.

Masalah buli ini ada banyak kesan negatif berbanding dengan positif. Kalau dilihat kepada mangsa buli terutamanya yang masih berada dalam usia remaja dan masih cuba untuk membentuk identiti diri mereka ini, kesan pada diri mereka lebih besar berbanding dengan yang lain.

Mangsa Buli.
Antara kesan negatif yang akan berlaku kepada mangsa buli adalah daripada segi psikologi iaitu kemurungan, emosi yang tidak stabil dan mengalami masalah gangguan mental. Sentiasa berada dalam keadaan takut dan berhati-hati. Mereka lebih berkecenderungan untuk takut hadir ke sekolah kerana takut dibuli. Malah, keadaan emosi mereka akan lebih terganggu dengan ugutan-ugutan yang diberikan oleh pembuli jika membuat aduan kepada cikgu atau sesiapa sahaja. Antara perkara lain yang akan berlaku adalah mereka akan merasa sunyi, keseorangan, dan tekanan. Selain itu, mangsa buli kebiasaannya akan mengalami masalah prestasi pembelajaran yang semakin menurun. Keyakinan diri mereka pun menurun dan mereka merasakan bahawa diri mereka lemah. Mereka juga berkecenderungan untuk membunuh diri kerana tidak sanggup menahan dibuli.

Manakala daripada segi sosial, mereka lebih banyak bertindak untuk mengelakkan diri daripada berjumpa dengan orang lain. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya menjadi kegemaran bagi dirinya tidak akan di lakukan lagi. Kesan lain yang juga ada berlaku adalah mangsa pula bertindak membuli orang lain yang lebih lemah daripada dirinya. Terdapat beberapa kes yang menunjukkan bahawa sejarah hidup yang pernah dibuli menjadikan seseorang itu bertindak ganas dan membuli orang lain.

Pembuli.
Kesan negatif ini bukan sahaja berlaku terhadap mangsa buli sahaja, malah pembuli juga akan mengalami kesan negatif. Antaranya adalah risiko untuk dibuang sekolah. Pendidikan adalah antara perkara yang penting bagi meningkatkan taraf hidup seseorang. Oleh itu, apabila dibuang sekolah, mereka akan mengalami banyak masalah seperti kesukaran untuk mendapat kerja dan sebagainya. Pelbagai kemungkinan akan berlaku apabila dibuang daripada sekolah kerana mereka akan berada dalam situasi yang menyebabkan mereka sukar menentukan halatuju mereka untuk masa hadapan.  Kajian jangka panjang yang telah dilakukan oleh Eron dan Huessmann menunjukkan bahawa mereka yang membuli ini mempunyai kecenderungan untuk melakukan jenayah di masa akan datang seperti penderaan terhadap pasangan atau anak-anak dan sebagainya dan sekurang-kurangnya mereka melakukan satu jenayah semasa dewasa.


Kesan gejala buli ini lebih banyak beri kesan kepada mangsa dan kesan ini bersifat jangka masa panjang. ia memberi kesan terhadap psikososial mangsa. Walaubagaimanapun, terdapat mangsa yang survive dalam isu ini dan dapat berfungsi dengan baik di dalam masyarakat kerana mempunyai sokongan sosial yang kuat di persekitarannya.

Oleh itu, sokongan dan bantuan adalah amat membantu dalam proses memulihkan mangsa buli ini supaya mereka boleh terus berfungsi dengan baik di dalam masyarakat. Malah, bukan mangsa buli sahaja yang perlu dibantu, pembuli juga perlu dibantu supaya mereka tidak menjadi sebahagian yang melakukan jenayah apabila dewasa seperti di dalam kajian yang telah dilakukan.

Pesanan untuk mangsa-mangsa buli diluar sana, apabila dibuli, jangan takut terus buat aduan kepada guru atau keluarga supaya anda tidak akan terus dibuli. Pertahankan diri anda melalui saluran yang betul dan jangan bertindak untuk bergaduh dan membuli orang lain pula.

Sekian, assalamualaikum.

Zilla Jamal :D