Showing posts with label seks luar nikah. Show all posts
Showing posts with label seks luar nikah. Show all posts

Thursday, 12 September 2013

Seks Luar Nikah: Faktor Kendiri dan Teman Lelaki

Assalamualaikum.
Hari ini saya nak share artikel yang saya pernah publish dalam buletin kerja sosial di UUM semasa saya bertugas di sana. Artikel ini saya tulis berdasarkan kajian yang telah saya lakukan sendiri terhadap beberapa orang remaja hamil tanpa nikah. So, selamat membaca. 

Seringkali kita dicanang-canangkan bahawa remaja yang terlibat dengan seks luar nikah adalah kurang didikan agama, mempunyai latarbelakang keluarga yang bermasalah dan pengaruh daripada rakan sebaya dan media massa. Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa diri sendiri dan teman lelaki juga adalah antara faktor penyebab penglibatan remaja wanita dalam seks luar nikah?

Apabila dilihat daripada faktor diri sendiri remaja wanita yang terlibat dalam seks luar nikah ini, ia dikatakan sebagai salah satu penyebab berlakunya seks luar nikah adalah apabila remaja wanita tersebut tidak mampu menolak permintaan dan pujukan atau kurang daripada segi kawalan kendiri. Seringkali, pada awal permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks, teman wanita akan cuba menolak untuk beberapa kali tetapi teman wanita akan akur dengan permintaan teman lelaki setelah berkali-kali dipujuk dan ditaburkan janji. Teman wanita akan mula merasa bimbang jika tidak menunaikan permintaan teman lelaki, berkemungkinan besar mereka akan ditinggalkan.

Perasaan bimbang, takut kehilangan, risau dan sebagainya itu akan mempengaruhi dirinya untuk menerima permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks. Hal ini menunjukkan teman wanita tidak mempunyai kawalan kendiri yang kuat dan tidak berpegang kepada keputusan yang pertama iaitu menolak permintaan teman lelaki.

Selain daripada itu, apabila seseorang remaja wanita itu mula terlibat dalam seks luar nikah samada dengan kerelaan, mangsa rogol dan sebagainya, mereka mempunyai kebarangkalian untuk berulang melakukan hubungan seks luar nikah. Hal ini disebabkan oleh dorongan rasa ketagih dalam diri yang menyebabkan mereka rasa seronok dan teringin untuk melakukan hubungan seks secara kerap. Terdapat situasi dimana, remaja wanita mengaku bahawa setelah mereka melakukan hubungan seks untuk pertama kali, dan melakukannya sekali lagi disebabkan rasa “syok” yang dialaminya. Ia juga disebabkan pada pertama kali mereka melakukan hubungan seks, mereka tidak mengandung, tidak ditangkap dan berjaya menyembunyikan aktiviti tersebut daripada pengetahuan orang lain, mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan seks luar nikah dengan kerap.

Teman lelaki tidak terkecuali dalam menyumbang kepada berlakunya seks luar nikah dalam kalangan remaja. Hal ini disebabkan hasil daripada permintaan, pujukan dan janji yang ditaburkan boleh menyebabkan teman wanita mula goyah dengan pegangan diri sendiri sehingga terjebak dalam seks luar nikah. Pihak teman lelaki akan bermula dengan permintaan, kemudian apabila ditolak, teman lelaki mula melakukan pujukan dengan menaburkan beberapa janji seperti akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kehamilan luar nikah dan dengan iringan sentuhan tertentu, teman wanita menjadi akur dengan permintaan teman lelaki mereka. Janji seperti ini akan menyebabkan teman wanita mula rasa percaya dan merelakan seks luar nikah berlaku. Kemudian helah teman lelaki untuk memujuk teman wanita melakukan hubungan seks adalah melalui cara meminta teman wanita membuktikan bahawa mereka benar-benar menyayangi teman lelaki mereka. Oleh sebab teman wanita merasa bimbang dan takut kehilangan teman lelaki, mereka terpaksa merelakan seks luar nikah itu berlaku tanpa memikirkan kesan yang mungkin mereka terima.

Oleh itu, beberapa tindakan dan program perlu dilakukan dalam mengatasi isu seks luar nikah ini bermula daripada akar umbi lagi dan tidak hanya fokus kepada keluarga, rakan sebaya dan media massa sahaja. Kawalan kendiri individu dan cara untuk menepis segala pujukan dan rayuan juga dikira sebagai perkara penting dalam mengurangkan masalah seks luar nikah ini. Jika seseorang berjaya mengawal diri dan teguh dengan keputusan untuk mengatakan tidak terhadap apa jua pujukan, individu tersebut telah berjaya mengelakkan daripada terlibat dalam seks luar nikah.

Walau bagaimanapun, setiap faktor dan punca berlakunya seks luar nikah adalah saling berkaitan dan tidak ada penglibatan dalam seks luar nikah yang hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja.Akhir kata, hindarkan diri anda daripada terlibat dalam aktivit seks luar nikah.


Disediakan oleh
Norzilla Jamaludin