Tuesday, 8 October 2013

KISAH NABI MUHAMMAD SAW DISIHIR MELALUI RAMBUTNYA OLEH YAHUDI LAKNATULLAH |

Peristiwa Yahudi menyihir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan turunnya kedua surah serentak (Surah Al-Falaq dan An-Nas) tatkala Rasulullah SAW balik dari Hudaibiah dalam bulan Zulhijjah tahun tujuh hijriah.

Setelah selesai perang Khaibar maka datanglah ketua-ketua Yahudi bertemu seorang tukang sihir Yahudi yang bernama Labid bin Aksam dari Bani Zuraiq, bertujuan untuk melakukan sihir ke atas Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Dengan kerjasama daripada seorang budak Yahudi yang juga khadam nabi, mereka telah mencuri sikat rambut Nabi beserta rambut yang terdapat pada gigi sikatnya.

Bersama bahan-bahan tersebut dibuat patung berupa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam daripada lilin, lalu ditikam dengan sebelas bilah jarum dan disimpul dengan sebelas ikatan. Maka di takdirkan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun terkena sihir selama 40 hari. Pada suatu hari ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam tidur maka datanglah dua malaikat, seorang di kepala dan seorang di kaki.

Disebut dalam banyak hadis sahih, seperti riwayat daripada Ibnu Abbas, Ibnu Abbas r.a., Ibnu Majjah, Muslim, An-Nasai r.a. dll.

Daripada Syaidatina Aisyah r.ha. menceritakan, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, sehingga Baginda berasa tidak keruan dan mengigau kerananya. Perkara yang telah dilakukan, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam merasa ragu-ragu samada sudah dilakukan atau tidak dan Baginda merasakan telah melakukan sesuatu yang sesungguhnya tidak dilakukannya. Kerana itu pada suatu hari atau suatu malam Rasulullah berdoa, kemudian berdoa dan berdoa lagi. Lalu datang dua malaikat berupa dua orang laki-laki menemui Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika Baginda sedang tidur. Salah seorangnya duduk di sebelah kepala manakala yang seorang lagi di sebelah kaki Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Malaikat yang berada di sebelah kaki bertanya kepada malaikat yang berada di sebelah kepala Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam: “Apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini?”

Malaikat yang di kepala: “Thabb.”

Malaikat yang di kaki: “Apakah Thabb itu?”

Malaikat yang di kepala: “Sihir.”

Malaikat yang di kaki: “Siapakah yang menyihirnya?”

Malaikat yang di kepala: “Lubaid Al A’sham, orang Yahudi.”

Malaikat yang di kaki: “Dengan apa disihirnya?”

Malaikat yang di kepala: “Sikat dan rambut yang gugur beserta mayang kurma kering.”

Malaikat yang di kaki: “Di manakah sihir itu diletakkan?”

Malaikat yang di kepala: “Dalam bungkusan daun tamar di bawah batu besar dalam telaga keluarga Zarwan.”

Malaikat yang di kaki: “Dengan apakah kita akan merawat dan memulihkan Muhammad ini?”

Maka yang seorang lagi membacakan beberapa ayat dari al-Quran, iaitu Surah‘Mu’awwidataini’(Surah Al-Falaq & Surah An-Nas).

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam kemudiannya terjaga dari tidur, lalu mengutus Saidina Ali, Saidina Zubir dan Ammar ibnu Yasir pergi ke telaga tersebut. Sesampainya di sana, mereka melihat air telaga itu seperti rendaman daun inai… kemerah-merahan darah warnanya, manakala pokok kurmanya kelihatan bagaikan kepala-kepala syaitan. Mereka menimba airnya dan mengangkat seketul batu besar, kemudian menemui‘bungkusan berikat’ tersebut lalu mereka mengambil dan mengeluarkannya dari telaga itu, seterusnya bungkusan berikat itu disampaikan pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pada bungkusan tersebut terdapat sebelas simpulan bersama sikat rambut, gigi sikatnya dan sebelas jarum.
Kemudian Rasulullah membaca ‘Surah Mu’awwidataini’ iaitu dua surah yang diturunkan kepada Baginda dalam mimpi semalam. Setiap kali dibaca satu ayat dari kedua-dua surah tersebut (Surah Al-Falaq & Surah An-Nas), terurailah satu ikatan, sehinggalah terurai kesemua simpulannya. Maka dengan takdir-Nya, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dapat berdiri dan seakan-akan baru terungkai dan terlepas dari belenggu ikatan. Apabila dicabut pula satu persatu jarum tersebut, terasa sakit dalam tubuh Baginda yang kemudiannya beransur hilang.

Anas ibnu Malik ra menceritakan,
“Bahawa ada seorang Yahudi berbuat sesuatu terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka kerana hal tersebut, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengalami sakit tenat, ketika para sahabat datang menjenguknya, mereka menyangka, bahawa hal itu hanyalah disebabkan sakit biasa. Kemudian datanglah malaikat Jibril dengan membawa turun kedua-dua surah ini; malaikat Jibril akan mengubatinya dengan membacakan kedua surah itu. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam keluar menemui para sahabatnya dalam keadaan sihat dan segar-bugar.”

Aisyah bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak membakarnya?”
Baginda menjawab: “Tidak. Adapun aku, maka Allah sudah menyembuhkan aku, dan aku tidak suka kalau aku membuat keburukan kepada manusia.”
Lalu Baginda memerintahkan agar dipendam barangan sihir itu.”
(Hadis Riwaat Ibnu Majjah r.a.)

Dalam hadis lain: “Bahawasanya, Allah SWT telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ketika hal itu disampaikan kepada si Yahudi tersebut, maka dia tidak lagi berani sama sekali menunjukkan mukanya pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

والله أعلم بالصواب

(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)


*Shahril Izwan @ Along*

Thursday, 26 September 2013

~Reunion Raya~

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Ok kali nih nak share pasal reunion raya yang kami telah adakan.  Majlis Reunion Hari Raya ini telah diadakan pada 1hb September 2013 di kantin SMKK dan ahli yang hadir terdiri daripada 9 orang bekas pelajar SMKK dan beberapa ahli keluarga masing-masing.

Antara juadah jamuan reunion raya ini adalah, nasi beriani, puding koktel, popia otak-otak, cupcake, sumi, kuih raya dan air oren. :) oklah, xmo bebel panjang, jom tgk gambo2 yang kami upload nih k. sume gambo-gambo nih daripada majlis reunion raya ni :)






























ok, tuh die sume gambo mase majlis berjalan. Insyaallah kiteorg akan adakan lagi majlis macam nih lain kali n semua alumni akan dijemput :) just u olls  kene slalu tgk ape2 update dalam page alumni sebab kiteorang akan bgtau segala update n aktiviti yang akan dibuat kat dalam page tu k :)

time kasih sbb ambil masa membaca post ini. bye,
assalamualaikum.

luv,
zilla jamal :D

Saturday, 21 September 2013

~lagu sekolah~

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Kali nie, saya nak kongsi lirik lagu sekolah. Siapa2 yang ingat, boleh la nyanyi..hihihi..


Bersusila berilmu berbudaya
Itulah cogankata bersama
Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas
Melangkah ke persada jaya

Putra putrinya bersemangat waja
Tunaikan cita-cita membara
Berbudi bahasa hormat dan setia
Padamu guru dan ibu bapa

Usaha dicurahkan
Jasa ditaburkan
Doakan dipohonkan
Semoga sejahtera
SMKK tercinta

Menjunjung harapan ibu pertiwi
Membina generasi bestari
Menjulang martabat bangsa dan negara
Seiring sehati sejiwa


#Zara Mokhtar#

Thursday, 19 September 2013

Ex-SMKK First Gathering: Majlis berbuka puasa

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Setelah agak lama meninggalkan sekolah selepas SPM, pertemuan pertama telah diadakan pada Ramadhan yang lalu dan disertai oleh beberapa orang bekas pelajar SMKK. Selepas membuat perancangan yang baik, beberapa orang bekas pelajar telah bersetuju untuk membuat perjumpaan pertama sekaligus berbuka puasa bersama-sama. Pertemuan semua bekas pelajar SMKK untuk majlis berbuka puasa ini diadakan di Puteh Cafe pada 03 Ogos 2013 yang lalu. Saya kongsikan beberapa gambar yang sempat di ambil semasa majlis berjalan di bawah ini.





Pertemuan seumpama ini mampu mengeratkan lagi kemesraan dalam kalangan bekas pelajar. Kita semua cuba mengimbas kembali kisah-kisah pada zaman persekolahan dan saling berkongsi tentang perkembangan terkini masing-masing.

Semoga perjumpaan seumpama ini dapat  diadakan sentiasa dari masa ke masa, bagi mengeratkan lagi hubungan disamping dapat mengekalkan kemesraan dan persahabatan dalam kalangan semua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas.

Salam muhibbah dari:
Wan Mazlina


Thursday, 12 September 2013

Seks Luar Nikah: Faktor Kendiri dan Teman Lelaki

Assalamualaikum.
Hari ini saya nak share artikel yang saya pernah publish dalam buletin kerja sosial di UUM semasa saya bertugas di sana. Artikel ini saya tulis berdasarkan kajian yang telah saya lakukan sendiri terhadap beberapa orang remaja hamil tanpa nikah. So, selamat membaca. 

Seringkali kita dicanang-canangkan bahawa remaja yang terlibat dengan seks luar nikah adalah kurang didikan agama, mempunyai latarbelakang keluarga yang bermasalah dan pengaruh daripada rakan sebaya dan media massa. Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa diri sendiri dan teman lelaki juga adalah antara faktor penyebab penglibatan remaja wanita dalam seks luar nikah?

Apabila dilihat daripada faktor diri sendiri remaja wanita yang terlibat dalam seks luar nikah ini, ia dikatakan sebagai salah satu penyebab berlakunya seks luar nikah adalah apabila remaja wanita tersebut tidak mampu menolak permintaan dan pujukan atau kurang daripada segi kawalan kendiri. Seringkali, pada awal permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks, teman wanita akan cuba menolak untuk beberapa kali tetapi teman wanita akan akur dengan permintaan teman lelaki setelah berkali-kali dipujuk dan ditaburkan janji. Teman wanita akan mula merasa bimbang jika tidak menunaikan permintaan teman lelaki, berkemungkinan besar mereka akan ditinggalkan.

Perasaan bimbang, takut kehilangan, risau dan sebagainya itu akan mempengaruhi dirinya untuk menerima permintaan teman lelaki untuk melakukan hubungan seks. Hal ini menunjukkan teman wanita tidak mempunyai kawalan kendiri yang kuat dan tidak berpegang kepada keputusan yang pertama iaitu menolak permintaan teman lelaki.

Selain daripada itu, apabila seseorang remaja wanita itu mula terlibat dalam seks luar nikah samada dengan kerelaan, mangsa rogol dan sebagainya, mereka mempunyai kebarangkalian untuk berulang melakukan hubungan seks luar nikah. Hal ini disebabkan oleh dorongan rasa ketagih dalam diri yang menyebabkan mereka rasa seronok dan teringin untuk melakukan hubungan seks secara kerap. Terdapat situasi dimana, remaja wanita mengaku bahawa setelah mereka melakukan hubungan seks untuk pertama kali, dan melakukannya sekali lagi disebabkan rasa “syok” yang dialaminya. Ia juga disebabkan pada pertama kali mereka melakukan hubungan seks, mereka tidak mengandung, tidak ditangkap dan berjaya menyembunyikan aktiviti tersebut daripada pengetahuan orang lain, mereka mempunyai kecenderungan untuk melakukan seks luar nikah dengan kerap.

Teman lelaki tidak terkecuali dalam menyumbang kepada berlakunya seks luar nikah dalam kalangan remaja. Hal ini disebabkan hasil daripada permintaan, pujukan dan janji yang ditaburkan boleh menyebabkan teman wanita mula goyah dengan pegangan diri sendiri sehingga terjebak dalam seks luar nikah. Pihak teman lelaki akan bermula dengan permintaan, kemudian apabila ditolak, teman lelaki mula melakukan pujukan dengan menaburkan beberapa janji seperti akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kehamilan luar nikah dan dengan iringan sentuhan tertentu, teman wanita menjadi akur dengan permintaan teman lelaki mereka. Janji seperti ini akan menyebabkan teman wanita mula rasa percaya dan merelakan seks luar nikah berlaku. Kemudian helah teman lelaki untuk memujuk teman wanita melakukan hubungan seks adalah melalui cara meminta teman wanita membuktikan bahawa mereka benar-benar menyayangi teman lelaki mereka. Oleh sebab teman wanita merasa bimbang dan takut kehilangan teman lelaki, mereka terpaksa merelakan seks luar nikah itu berlaku tanpa memikirkan kesan yang mungkin mereka terima.

Oleh itu, beberapa tindakan dan program perlu dilakukan dalam mengatasi isu seks luar nikah ini bermula daripada akar umbi lagi dan tidak hanya fokus kepada keluarga, rakan sebaya dan media massa sahaja. Kawalan kendiri individu dan cara untuk menepis segala pujukan dan rayuan juga dikira sebagai perkara penting dalam mengurangkan masalah seks luar nikah ini. Jika seseorang berjaya mengawal diri dan teguh dengan keputusan untuk mengatakan tidak terhadap apa jua pujukan, individu tersebut telah berjaya mengelakkan daripada terlibat dalam seks luar nikah.

Walau bagaimanapun, setiap faktor dan punca berlakunya seks luar nikah adalah saling berkaitan dan tidak ada penglibatan dalam seks luar nikah yang hanya disebabkan oleh satu faktor sahaja.Akhir kata, hindarkan diri anda daripada terlibat dalam aktivit seks luar nikah.


Disediakan oleh
Norzilla Jamaludin

Wednesday, 11 September 2013

Gambar Zaman Dulu-dulu..

Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia.Setiap orang mempunyai memori semasa zaman sekolah kan..tak kira sama ada suka mahupun duka..tapi yang pasti kenangan itu tetap akan menjadi memori yang menarik untuk di kongsikan pada generasi kita di masa hadapan..saya tak pandai nak karang citer panjang2 nie..apa kata, kita tengok sama2 gambar saya dan rakan2 semasa sekolah dulu..kelakar tengok muka sendiri..hehehe...

















ni adalah koleksi majalah sekolah yang masih disimpan daripada tahun 1998 sehingga 2002.

Semoga ia dapat mengimbas kembali zaman persekolahan suatu ketika dahulu.

Sekian,
~Zara Mokhtar~

20 Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki


Artikel Sejarah & Islam

Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah

Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu." (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar

Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3. Tinggalkan perbuatan dosa

Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

"… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa

Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya." (Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w..:

"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya." (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…" (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a'lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak

Ibnu Abbas berkata:

"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."

10. Berpagi-pagi

Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:

"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk

Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki." (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya." (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)

Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha

Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras." (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: "… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu

Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang, diiringi doa: "Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim." Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.

18. Berdoa

Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya

Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

"Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) ." (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri "jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya." (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

~@long~Shahril IzwaN~